BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, November 4, 2010

ORGANISASI DALAMAN PARTI

Organisasi Parti dan Anda

Idea-idea baru amat diperlukan untuk memastikan parti terus berkembang dan membangun. Kami mengalu-alukan pandangan dan pengalaman daripada semua anggota parti. Struktur parti membolehkan setiap individu mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan (decision making process) di setiap peringkat parti.

Ranting

Wadah parti di kawasan tempatan anda. Kebanyakan aktiviti-aktiviti parti dijalankan di peringkat ini. Anggota parti di peringkat ranting diberi kuasa untuk memilih perwakilan ke peringkat Cabang.

Cabang

Cabang disusun berdasarkan kawasan pilihan raya Parlimen dan lazimnya mempunyai beberapa Ranting dalam kawasannya. Perwakilan dipilih di peringkat Cabang untuk membahaskan dasar dan program di Kongres Nasional Tahunan.

Majlis Pimpinan Negeri

Majlis Pimpinan Negeri merupakan badan yang menyelaraskan aktiviti-aktiviti parti di peringkat negeri dan wilayah-wilayah persekutuan. Lazimnya, Pengerusi Negeri dilantik oleh Majlis Pimpinan Pusat dan beliau mengerusikan Majlis Pimpinan Negeri yang dianggotai oleh wakil-wakil Cabang.

Majlis Pimpinan Pusat

Badan eksekutif dan pentadbiran parti di peringkat nasional. Ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat dipilih oleh anggota-anggota parti.  Ahli-ahli Majlis bertanggungjawab membuat semua keputusan dan malaksanakan perjalanan serta halatuju parti yang ditentukan oleh Kongres Nasional.

Kongres Nasional

Badan tertinggi dalam Parti dengan kuasa menentukan perjalanan dan halatuju parti. Kongres Nasional bersidang sekali setahun dan dianggotai oleh wakil-wakil yang dipilih di peringkat Cabang, wakil-wakil Majlis Pimpinan Negeri, wakil-wakil dari Angkatan Muda Keadilan, wakil-wakil dari Wanita Keadilan dan ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat. Semua anggota parti boleh mengambil bahagian secara langsung sebagai wakil ataupun pemerhati, ataupun secara tidak langsung sebagai pemilih wakil dari Ranting dan Cabang.

Gerakan Sayap Parti

Parti juga mempunyai kumpulan ataupun kokus (caucus) yang memberi tumpuan khas kepada isu-isu wanita dan kaum muda. Sayap-sayap parti mempunyai struktur pentadbiran dan organisasi yang menyamai organisasi parti.

Wanita Keadilan

Gerakan ini dibuka kepada semua anggota wanita di setiap peringkat organisasi parti. Wanita Keadilan memberikan tumpuan khas kepada isu-isu politik yang memberi kesan terhadap pembangunan wanita.

Angkatan Muda Keadilan

Gerakan ini dibuka kepada semua ahli, lelaki ataupun wanita, yang berumur 35 tahun ke bawah di setiap peringkat organisasi parti. Tumpuan khas diberikan kepada isu-isu pembangunan kaum muda.

0 comments: